Pages
▼
Sunday, June 20, 2010
Cabaran Masa Cuti.
Setelah tiga minggu bercuti, esok tibalah masanya untuk meneruskan sesi persekolahan semester kedua 2010. Terasa seperti baru semalam je cuti. Peluang cuti ini memang sangat dinanti-nantikan. Macam-macam perancangan yang dibuat untuk mengisi masa cuti ini.
Bagi perantau seperti aku, yang tinggal berjauhan dengan induk keluarga, jadi masa cuti ini memang sangat berharga dan perlu dipenuhi dengan sebaik mungkin!
Masa cuti inilah nak pulang ke kampung. Menjenguk sanak keluarga. Mengeratkan silaturahim.
Masa cuti ini juga sibuk memenuhi undangan: majlis pertunangan, majlis perkahwinan, kenduri kesyukuran. Setiap minggu.
Masa cuti ini juga nak digunakan untuk membuat tinjauan di shopping malls. Godaan jualan tengah tahun sungguh menggoda. Seperti aku yang tinggal di pulau ini, apabila berpeluang pulang ke kampung, singgah pula di kota kosmopolitan KL, gamitan dan godaan malls ini sangat mengujakan. Melangkah je di dalam shopping malls itu, terasa seakan tak cukup masa nak melihat, membelek dan membeli (jika berkenan) barangan yang didagangkan. Urut je dada. RM, RM, RM....
Bagiku, walaupun di atas kertas tercatat cuti selama tiga minggu, tapi hakikatnya bukanlah tiga minggu solid dan total. Cuti bukan sebarang cuti. Cuti ini dibekalkan dengan tugasan yang perlu dibereskan. Jadi, perlu pandai merancang dan membahagi masa untuk melunaskan kerja yang dibekalkan. Tepuk dada tanya selera.
Hal ini perlukan kekuatan. Kekuatan mental dan fizikal tentunya.
Dewasa ini senario persekitaran dipengaruhi dunia siber hari ini memang besar cabaran yang perlu dihadapi. Kemajuan dan kemudahan akses internet merupakan cabaran yang sangat besar terhadap kemahuan melunaskan tugasan yang sedia ada. Terasa masa sangat singkat dan jarum jam sangat cepat berputar. Saat bertukar minit bertukar jam. Pagi bertukar tengahari bertukar petang berganti malam..Malam bertukar menjadi pagi. Bertukar sudah haribulan. Cepatnya. Sungguh pabila melayari alam siber, satu jam umpama satu minit sahaja. Masa terus berlalu. Kerja di alam nyata belum usai lagi. Tunggulah dulu, lima minit saja lagi. Tit, tot, tit, tot..bukan lima minit lagi. Dah hampir lima jam..belum terasa lama. Itulah penangan alam siber ini. Ya, satu cabaran yang perlukan kekuatan mental untuk menghadapinya.
Namun hal yang bertentangan berlalu pabila aku mengadap tugasan ini. Terasa jarum jam sangat malas nak berlalu.. Baru satu muka surat..terasa lama sudah aku menatapnya..Bosanpun menjelma. Kebosanan ini semakin menebal pabila terpaksa berhadapan dengan jawapan yang tidak memenuhi skema, teknik menjawab yang tidak betul dan ditambah lagi dengan bentuk tulisan yang sangat 'seni' sehingga sukar untuk dibaca!
Tapi inilah cabarannya!
No comments:
Post a Comment